Selamat Datang Dan Terima Kasih Kerana Sudi Menjenguk Blog Yang Tak Seberapa Ini........

TEMAN MESRA BLOG NI

APA ITU WASIAT

Apa itu WASIAT….

Wasiat adalah isu yang sepatutnya tidak terus dijadikan sebagai perkara sensitif kerana ia amat penting dan perlu untuk kita semua yang mempunyai harta.

Wasiat secara lisan mengikut hukum syarak adalah sah sekiranya semua syarat untuk membuat wasiat ditepati. Namun dalam keadaan sekarang tidak digalakkan kerana prosedurnya bukan mudah. Ia membabitkan kunjungan ke mahkamah dan membawa saksi, kemudian diisytiharkan sah oleh mahkamah. Wasiat yang terakhir adalah wasiah yang sah. Wasiat secara mulut selalunya boleh dipertikaikan kerana sukar dibuktikan.

Wasiat boleh dibuat mengikut kehendak empunya harta sendiri, tertakluk kepada satu pertiga harta boleh diwasiatkan kepada bukan waris. Contohnya, sekiranya hendak mewasiatkan sepertiga harta untuk disedekahkan kepada badan amal atau bukan waris, ia boleh dilakukan. Waris tidak boleh membantah. Melainkan waris pertikai yang ketika wasiat itu dibuat orang tua mereka dalam keadaan tidak stabil fikiran ataupun nyanyuk. Itu antara sebab kita perlu membuat wasiat sebelum tua supaya tidak ada pertikaian mengenai pelbagai keadaan misalnya masalah nyanyuk.

Ada yang membuat wasiat ketika nazak dan wasiat sebegini juga selalu menjadi pertikaian waris yang membawanya ke mahkamah. Selain pembahagian keluarg berpoligami, anak angkat sering menjadi masalah setelah berlaku kematian. Jika seseorang itu mempunyai anak angkat dan mahu meninggalkan pusakanya kepada anak angkat, maka dia perlu menulis wasiat dan menyatakan pembahagiannya dalam wasiat. Sekiranya tiada wasiat ditinggalkan, maka anak angkat terbabit tidak akan mewarisi apa-apa melainkan waris faraid bersetuju memberi bahagian mereka kepada anak angkat berkenaan.

Hibah dan wasiat adalah berbeza. Hibah berkuat kuasa sekarang berbanding wasiat yang berkuat kuasa selepas berlakunya kematian. Hibah juga ada keburukannya kerana pemberian hibah kepada bukan waris tidak boleh ditarik balik. Sekiranya hendak ditarik balik, si penerima kena bersetuju. Contohnya , awal-awal lagi menghibahkan semua harta kepada anak angkat yang sangat disayangi dan tiada pula mempunyai anak sendiri. Namun ajal maut di tangan Tuhan, mungkin anak angkat itu yang meninggal dulu. Jadi eloklah jangan menghibahkan seratus peratus sebaliknya beberapa bahagian sahaja kerana kalau anak angkat meninggal dulu, waris faraid dia pula yang mendapat hak waris.

Mengikut hukum syarak, hibah daripada ibu bapa kepada anak kandungnya boleh ditarik balik walaupun anaknya tidak setuju. Hibah selain daripada ibu bapa kepada anak, contohnya suami kepada isteri atau kawan pula tidak boleh ditarik balik.

Proses membuat wasiat pula tidak sesukar mana. Ada beberapa cara untuk membuat wasiat. Ada yang mahu semuanya diperinci jadi mereka kena sertakan perincian harta sekurang-kurangnya alamat rumah (tidak perlu menyertakan nilai). Untuk duit simpanan, perlu member nama bank dan nombor akaun (tidak perlu memberitahu jumlah yang ada). Ada juga yang sekadar memberi nama, alamat dan nombor kad pengenalan sendiri dan kemudian menyatakan jumlah yang mahu diberikan kepada waris atau bukan warisnya berserta nama dan nombor kad pengenalan mereka.

Penama dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Simpanan Pejabat Pos, Bank, Syarikat Insurans dan Kesatuan Kerjasama adalah seperti orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau yang membuat wasiat. Orang-orang itu boleh menerima wang si mati daripada punca yang disebut itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak mengikut undang-undang Islam mengenai warisan.

Paling popular adalah penama di KWSP. Ramai menyangka seluruh wang itu adalah untuk penama. Sebenarnya sekiranya suami mati dan si isteri sebagai penama, dia tidak mendapat semua wang itu sebaliknya sebagai penama yang menjadi pemegang amanah membahagikan wang itu mengikut syariah Islam. Isteri haknya tetap satu perempat dan baki untuk bapa atau ibu dan adik-beradik suami. Bagi simpanan isteri yang meninggal dunia, suami akan mendapat satu perdua manakala baki kepada bapa atau ibu dan adik-beradik isteri.


 

SUMBER HARIAN METRO – FOKUS (8 APRIL 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan