Selamat Datang Dan Terima Kasih Kerana Sudi Menjenguk Blog Yang Tak Seberapa Ini........

TEMAN MESRA BLOG NI

KONTROVERSI PALING HANGAT 2011 (METRO RAP 27/12/2011)

Salam 1 blogger….

Tengah baca paper kat ofis tadi, MS baca di ruangan RAP Metro hari ini dipaparkan 10 kontroversi paling hangat tahun ini. So, MS ingin kongsi disini…..

2011 SPOTLIGHT

1) YUNA REDA, ANUAR PASRAH !

image  image

Dimana pertama berlaku dalam sejarah penganjuran anugerah, berita penarikan semula trofi Lagu Terbaik yang dimenangi penyanyi muda, Yunalis Zarai menerusi lagu Penakut di Anugerah Industri Muzik (AIM) November lalu disifatkan memalukan hingga kredibiliti anugerah itu dipersoal.

Seminggu selepas Yuna selesa dengan pengiktirafan yang diberi, tiba-tiba trofi itu ditarik semula untuk diserahkan kepada lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry KRU dendangan Anuar Zain. Alasannya, kesilapan pihak auditor yang memantau system pemarkahan yang dibuat juri. Lalu kekeliruan itu menyebabkan berlakunya kesilapan.

Kesan yang tertinggal, Yuna dan Anuar dipertemukan pada satu siding media tergempar bagi menjelaskan senario sebenar. Yuna enggan membesarkan isu itu meskipun mengakui terkilan dan Anuar pula hanya mengikut rentak.

Mungkin dalam kes ini Yuna terpaksa reda sementara Anuar pula pasrah – bak adegan filem Ombak Rindu. (MS belum lagi berkesempatan tengok cerita Ombak Rindu tu)

2) FASHA OH FASHA….

image

Saban tahun aktres jelita dan seksi jarang sekali tertinggal dalam senarai kontroversi kerana ada saja kisah ‘panas’ membabitkan dirinya. Bukan sengaja mencari publisiti murahan, namun pelakon Tentang Dhia ini terpaksa akur dengan statusnya selaku bintang popular membuatkan setiap inci gerak-gerinya diperhatikan.

Kekal profesional dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai cabaran anak seni, Fasha selalu bersedia menjelaskan setiap kontroversi yang terkena. Apabila gambarnya berbikini ‘terbarai’ di Internet, Fasha tampil menerangkan perkara sebenar. Dakwanya gambar-gambar itu dimuat naik rakan baiknya yang turut sama bercuti ke Bali ketika itu.

Kemudian Fasha membuat kejutan lagi apabila menyiarkan senarai panggilan dibuat yang dikaitkan dengannya, Jejai di laman twitter apabila ada pihak membuat spekulasi kononnya hubungan mereka berantakan.

Fasha sekali lagi mencetus kontroversi apabila mendedahkan rasa tidak puas hatinya kepada Iqram Dinzly yang ketika itu berlakon bersamanya kerana lewat datang ke lokasi penggambaran. Pelakon yang sinonim dengan disiplin dan komited terhadap kerjaya lakonannya ini kemudiannya dikaitakan pula menjadi punca perpisahan bintang muda, Johan As’ari dan bekas kekasihnya, Izreen Azminda.

Baru-baru ini pula Fasha mengenakan gaun seksi merah dalam sebuah majlis yang nyata mendedahkan bahagian besar belakangnya sehingga ke pinggul.

3) ORANG PESTA, RAJA AZMI MENGAMUK!

image

Produser sensasi, Raja Azmi Raja Sulaiman tidak terkecuali mencetus kontroversi apabila meninggalkan majlis pembukaan Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) kerana tidak berpuas hati dengan kemenangan Jurey Latif Rosli melalui filem Libas.

Raja Azmi menyifatkan kemenangan Jurey adalah mengarut dan tidak adil kerana Jurey adalah pengerusi dan badan penganjur utama yang sepatutnya tidak layak bertanding untuk kategori yang bersifat peribadi iaitu Pengarah Harapan.

Lantas tatkala nama Jurey diumumkan sebagai pemenang, Raja Azmi bingkas bangun meninggalkan majlis namun sempat berkata sesuatu kepada Jurey yang kebetulan berselisih dengannya untuk mengambil trofi.

Tahun ini, Jurey adalah Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Induk untuk FFM24.

Tindakan Raja Azmi seolah-olah tidak menghormati majlis lebih-lebih lagi dengan adanya tetamu kehormat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun, Raja Azmi kemudian menghantar surat permohonan maaf kepada TPM di Putrajaya dan banyak pihak memuji tindakan Raja Azmi itu.

4) KISAH ‘DALAM KAIN’ JIMMY

image

Sejak memfailkan penceraian Januari lalu, pengacara, Jimmy Shanley dan isteri, Nur Suhaila Eliani Suhaimy terus bergolak, bagai tiada jalan kesudahan.

Mulanya, masing-masing tidak mahu punca penceraian didedahkan dan hanya menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu ketentuan. Namun, tanpa berfikir panjang dan hanya mengikut gerak hati, pasangan ini mula memanjangkan kes di mahkamah hingga banyak episod ‘dalam kain’ didedahkan.

Mahu atau tidak, semuanya sudah terjadi dan sukar berpatah semula. Bayangkan, mereka mula tinggal berasingan selepas 20 hari bernikah pada Oktober tahun lalu. Mungkin rasa puas apabila kebenaran mahu ditegakkan namun sedar atau tidak, kisah peribadi kedua-dua hanya merugikan diri masing-masing.

Terbaru, Jimmy yang sebelum ini pernah mengendalikan program Trek Selebriti dan Akademi Fantasia (AF), mendakwa pula bekas isterinya masih ketagih judi dan merokok hingga lalai akan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

5) NEELOFA NAFI BUKAN PERAMPAS

image

Sebutir lagi bintang baru kini semakin terang menerangi dunia lakonan bernama Neelofa. Dulu dia pernah dikaitkan bercinta dengan aktor kacak, Shah Jaszle ketika bersama-sama membintangi filem Azura, namun mereka akhirnya berpisah.

Sejak itu Neelofa yang bukan saja bijak dan cantik, terus menjadi perhatian ramai pihak dan dikatakan menjalinkan hubungan pula dengan seorang kerabat diraja.

Di samping itu, Neelofa turut terjebak dengan kontroversi apabila dikatakan cuba merampas kekasih orang lain. Malah ada khabar angin Neelofa pernah dihalau daripada sebuah hotel di ibu Negara, tahun ini gara-gara gosip cinta rampas merampas itu.

Kemudian, pelakon peramah ini terpaksa memasang pembantu peribadi atau ‘bodyguard’ selepas menerima ugutan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dari individu yang tidak dikenali. Dipercayai ia ada kaitan dengan soal wang. Hingga ini, Neelofa masih fobia dengan apa yang berlaku. Dia akui mahu berhati-hati dalam setiap gerak langkah dengan siapa dia mahu bercinta.

6) PERANG CHEF WAN DENGAN ANAK, ADLIN

image   image  

Mengaburi profil kerjaya kononnya pernah bekerja di sebuah restoran eksklusif bertaraf antarabangsa membuatkan chef selebriti yang juga personaliti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan ‘naik hantu’.

Lebih hangat, Chef Wan bukan memarahi sesiapa sebaliknya anak lelakinya sendiri, Mohd Nadzri Redzuawan atau Chef Riz yang dikatakan memberitahu yang dia pernah bekerja di sebuah restoran di kota New York ketika mengendalikan program Masterchef Malaysia.

Walaupun anak sendiri, Chef Wan menyifatkan perbuatan Chef Riz sebagai memalukan dan tidak patut berlaku terutamanya dalam menipu butiran diri untuk kerjaya sendiri. Namun itu semua adalah untuk kebaikan anaknya sendiri.

Terbaru, Chef Wan yang juga pengkritik tetap untuk program reality TV Maharaja Lawak Mega berperang pula dengan salah seorang pesertanya juga pelakon handalan, Adlin Aman Ramlie. Perbalahan mereka berdua bermula apabila Chef Wan mengkritik persembahan Adlin yang dikatakan hambar dan tidak mencuit hati langsung. Lantas, Adlin yang sebelum ini terkenal dengan kritikan berbisanya menerusi program Akademi Fantasia (AF) tersingkir dari pentas Maharaja Lawak Mega menyebabkan dia melancarkan serangan balas ke atas perang mulut itu.

7) NABILA HUDA BUAT AYAH MENANGIS

image

Tiada persefahaman menjadi punca perpisahan dramatis terkenal, Nabila Huda bersama suami, Zaidy Zailani, selepas lebih tiga tahun hidup bersama. Pelakon berbakat yang juga anak kesayangan kepada penyanyi lagenda, Amy Search itu juga sudah menjadi seorang ibu dan dikurniakan seorang anak perempuan, Keisha Laila.

Sekian lama mengunci mulut setiap kali ditanya mengenai punca sebenar perpisahan, Nabila yang mesra disapa Abil bagaimanapun mendedahkan rasa tidak puas hatinya kepada Zaidy di laman sosial, twitter. Nabila menyifatkan Zaidy bersikap melampau dan suka mencabar kesabaran dirinya.

Nabila dikatakan marah dan terus membuka rahsia mengenai sikap bekas suaminya apabila dia tidak henti bercerita mengenai sikap buruk Nabila dan mempersoalkan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Dalam pada itu, Nabila turut terjebak dengan kes gambar bercium bersama seorang lelaki yang dikatakan jurulatih selam di Pulau Tioman. Perbuatan itu amat mengecewakan ayahnya, Amy dan ibu tirinya, Nourish. Hanya air mata Amy mampu mengalir mengenagkan sikap Nabila itu dan Amy memohon agar Nabila memohon maaf kepada peminat dan masyarakat.

8) JAMAL TINGGALKAN PENGASIH

image

Selepas lima tahun penyanyi dan pelakon Jamal Abdillah menginap di pusat pemulihan Rumah Pengasih, akhirnya awal November lalu, dia membuat keputusan untuk keluar tinggal sendirian. Alasannya tidak diketahui cuma sebelum ini, sudah ada spekulasi yang mana Pengerusinya, Datuk Yunus Pathi, pernah mengeluarkan kenyataan yang Jamal tidak pernah menyumbang duit kepada Pengasih sedangkan dia penyanyi terkenal.

Walaupun menggunakan segala kemudahan dan menginap di ruang yang selesa, penyanyi yang popular dengan lagu Azura itu dikatakan langsung tidak sensitif untuk membantu Pengasih dari segi sumbangan.

Namun, ketika ditanya perkara itu kepada Jamal, penyanyi kelahiran Ipoh, Perak yang kini berusia 52 tahun menafikan sekeras-kerasnya. Malah ketika ditemui baru-baru ini, Jamal sekali lagi menegaskan yang dia sudah mengumpulkan beberapa bukti dan dokumen untuk membersihkan reputasinya yang tercalar dengan dakwaan Yunus Pathi.

Lebih berani, Jamal mengakui tertekan dengan segala dakwaan dan menyifatkan Pengasih tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu keran ia akan membuatkan masyarakat akan hilang kepercayaan akan institusi berkenaan.

9) IZREEN KATA CINTA, JOHAN PULA TIDAK

image

Tidak semena-mena pelakon meningkat naik, Izreen Azminda membuat kenyataan yang hero drama siri popular, Johan As’ari adalah kekasihnya. Namun, Izreen yang turut berlakon dalam Juvana akui hubungan mereka dua kian renggang sejak Johan meraih populariti mendadak dan terikat dengan jadual penggambaran drama siri Cinta Elysa.

Secara berlapik, Izreen melihat punca keretakan hubungannya dengan Johan adalah kerana Fasha Sandha yang kebetulan menjadi heroin kepada Johan dalam Cinta Elysa. Kebetulan Johan sedang diburu ramai dan Fasha pula memang pelakon yang popular, gandingan dan keserasian mereka berdua berhasil sehingga drama terbitan Suhan Movies itu mencecah ‘rating’ penonton melebihi 4 juta untuk episod terakhirnya.

Berita gembira buat Johan itu bagaimanapun mengundang rasa kurang selesa kepada Izreen kerana Johan semakin lupa perhubungan mereka. Bagaimanapun Johan menafikan sekeras-kerasnya mengenai hubungan istimewa yang terjalin dengan Izreen serta Fasha sebagai orang ketiga.

Izreen pula turut mendedahkan pelbagai bukti yang pernah dikirimkan Johan sebelum ini menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

10) SEPAH DAH BERSEPAL!

image

Selepas menjuarai program Raja Lawak dan kemudiannya Maharaja Lawak, trio Sepah mula berdepan kemelut dalaman yang mengatakan ketiga-tiga anggotanya, Jeff, Mamat dan Shuib tidak sehaluan.

Berbulan-bulan bermain teka-teki akan keadaan dalaman mereka, akhirnya Jeff dan Shuib mengumumkan perpecahan mereka dengan menubuhkan Sepahtu. Mamat dikatakan mencipta banyak masalah termasuk disiplin dan tidak komited dengan mereka. Namun masing-masing menafikan mereka bergaduh besar sebaliknya masih boleh berlakon bersama dalam Sepah The Movie.

Mamat pula mendapat perhatian apabila mengumumkan hubungan cintanya bersama Rafidah Ibrahim atau Fida Pantene. Bagaimanapun tidak sampai setahun, mereka berpisah apabila Fida kecewa dengan sikap Mamat. Shuib pula cukup gembira kerana akhirnya menjadi seorang ayah apabila perkahwinan dengan Siti Sarah dikurniakan anak.

LAGI KONTROVERSI……

image

Selain itu, 2011 turut memperlihatkan pelbagai cerita panas seperti tindakan berani pelakon Zarina Ann-Julie yang tampil separuh bogel sebagai muka depan sebuah majalah di Indonesia.

image      image

Apabila Memey Shuhaiza dan Norman Hakim berkahwin dengan begitu gah, bekas isteri Norman, Abby Abadi pula dimasukkan ke hospital kerana tertekan dengan banyak perkara termasuk perpisahan dengan kekasihnya, Zulkifli Ariffin.

image Tidak kurang panasnya, finalis Pilih Kasih juga pelakon utama filem Mantra, Ana Dahlia yang dikatakan menyorok status janda sebelum berkahwin lagi dengan anak Chef Wan.

image Di samping itu, ramai terkejut dengan khabar angin finalis Akademi Fantasia 9 (AF9), Lena dan Azri yang dikatakan ‘tidur’ bersama di Bali.

image

Sementara Datuk Siti Nurhaliza terpaksa tampil memperjelaskan produk kecantikannya, SimplySiti adalah bersih dan halal.

image Turut hangat apabila penyanyi juga pelakon, Deja Moss menyaman beberapa media kerana mendakwa menyebarkan artikel tidak benar berkenaan masalah yang berlaku antaranya dengan Norish Karman ketika terbabit dalam teater Terima Kasih Cinta.

image Terbaru pula, Fizo Omar berdepan dengan situasi malang apabila terpaksa menanggung beban hutang jutaan ringgit selepas menjadi penjamin kepada seorang rakan niaganya.

Itulah antara kontroversi panas artis kita tahun ini, bagaimana dengan tahun depan? Kita tunggu……

Tiada ulasan:

Catat Ulasan